Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Azmah Haji Ahad
JERUDONG, Isnin, 20 Oktober. - Bersempena Ulang Tahun Penubuhan yang ke-34, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) mengadakan Majlis Makan Malam Tahunan bertempat di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei, di sini.
Hadir selaku tetamu-tetamu khas ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Timbalan Pengerusi Perbadanan TAIB; Penolong Mufti ('Ifta), Dato Seri Setia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB; Ahli-ahli Lembaga Pengarah; Ahli-Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah; pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB serta Anak-anak Syarikat, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd., Darussalam Holdings Sdn. Bhd. dan TAIB Filling Station Sdn. Bhd.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim.
Dalam ucapannya, Datin Hajah Hasnah menzahirkan rasa syukur atas pencapaian Perbadanan TAIB sebagai institusi kewangan Islam yang mampan dan seiring dengan Maqasid Syariah, dengan pertumbuhan positif dalam aset, keyakinan pelanggan serta kejayaan pelaksanaan transformasi digital.
Beliau turut mengetengahkan pelancaran produk baharu dan penambahbaikan seperti Mastercard Travel Pass, program pulangan tunai, Ar-Rizq Term Deposit dan Retirement Saver sebagai langkah memperkukuh perkhidmatan kewangan yang lebih inovatif dan inklusif.
Tambahnya, Perbadanan TAIB juga telah menerima pengiktirafan antarabangsa melalui empat anugerah utama iaitu 'Digital Transformation of the Year - Brunei, Islamic Banking Initiative of the Year - Brunei, Best Islamic Deposit Product in Asia Pacific dan 3G Service Excellence Award - Brunei', yang mencerminkan komitmen berterusan terhadap inovasi, tadbir urus baik dan kecemerlangan perkhidmatan pelanggan.
Selain pencapaian kewangan, beliau turut menghargai dedikasi dan kerjasama seluruh warga Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya dalam menjayakan inisiatif komuniti seperti EmpowHer Run 2025 dan TAIB Group Showcase, yang memperkukuh semangat kebersamaan dan keterlibatan sosial di antara Perbadanan TAIB dan masyarakat.
Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan khas disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, dan diteruskan dengan upacara memotong kek ulang tahun ke-34.
Setelah itu, majlis diikuti dengan jamuan makan malam dan penyampaian anugerah kepada para juara Sukan Antara Rumah-rumah TGOC 2025, yang meraikan semangat kesukanan dan kerjasama warga kerja.
Majlis turut diserikan dengan Cabutan Bertuah Utama, menambahkan keceriaan suasana dan memperkukuh nilai perpaduan serta semangat kejayaan bersama dalam warga Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya.